Followers MamaTisya

Saturday, August 31, 2013

Gangguan Air Di KL Dan Selangor Akibat Lori Diesel Terbalik



KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) -- Sebahagian besar penduduk di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor mengalami gangguan bekalan air setelah empat loji rawatan air ditutup selepas Sungai Selangor dicemari tumpahan diesel.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata tumpahan minyak berlaku apabila sebuah lori tangki diesel terbalik dan muatannya melimpah dan mengalir ke dalam Sungai Selangor pada kejadian kira-kira pukul 8 pagi ini.

Berikutan insiden itu, beliau berkata empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor, iaitu Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SPP2) dan Fasa 3 (SPP3) serta LRA Rantau Panjang ditutup bagi mengelak rawatan air mentah yang sudah dicemari.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di sini, Mahdzir berkata proses pembersihan minyak sedang dijalankan dan dijangka mengambil masa yang lama.

Beliau berkata Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan membuka bilik operasi untuk membantu memberi maklumat secara berterusan kepada penduduk.

Sungai Selangor merupakan sumber bekalan air untuk dirawat oleh empat loji berkenaan sebelum disalurkan ke rumah pam dan kolam-kolam.

Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dalam kenyataan berkata kawasan yang terjejas merangkumi daerah Petaling, Kuala Lumpur, Klang dan Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas Priscilla Alfred berkata Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash) mengesan pencemaran itu di hulu Sungai Selangor kira-kira pukul 8 pagi ini.

Berikutan itu, keempat-empat loji rawatan terbabit dihentikan operasinya selama sejam mulai 8 pagi tadi..

"Kita dimaklumkan tempoh sekitar 14 jam diperlukan sebelum tumpahan minyak diesel tersebut melewati muka sauk air mentah loji rawatan air tersebut," katanya dalam kenyataan itu.

Priscilla berkata empat loji rawatan air itu mengeluarkan bekalan air terawat sebanyak 2,670 juta liter sehari (JLH) dan ia merupakan 57 peratus daripada jumlah permintaan air di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Justeru, Syabas ingin menasihatkan para pengguna di daerah terbabit supaya menggunakan air secara berhemah bagi menghadapi gangguan bekalan air tersebut," katanya.

Beliau berkata Syabas telah mengambil langkah menggerakkan semua sumber yang ada bagi membantu pengguna menangani masalah itu termasuk melaksanakan penghantaran bekalan air melalui 42 buah lori tangki dan 525 buah tangki statik.

Syabas turut mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) Kod Merah bagi daerah yang terlibat dan meletakkan petugasnya dalam keadaan siap sedia bagi mengurus gangguan bekalan air itu.

-- BERNAMA


bc psl gangguan air kt KL & Selangor disebabkan lori diesel terbalik...tp sejak isnin aritu kt area keramat ni mmg tkde air berikutan berlakunya pengurangan pengoperasian pam di Rumah Pam Wangsa Maju sehingga menyebabkan penurunan paras air yang kritikal di kolam-kolam utama SYABAS dan sekaligus menjejaskan bekalan air kepada pengguna....saper yg wat kenduri kawin or openhouse mggu ni mmg sian la if air tkde....smoga cpt la pulih...tk brp merdeka bila air tkde :-p

1 comment:

  1. Sebelum ni pon ada masalah air di sekitar Bukit Antarabangsa, bukan atas sebab lori minyak terbalik :/ Haish, memang mengganggu jadual hari minggu betul.

    Nisa'

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...